PUTRAJAYA: Hampir 500 tindakan sudah diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap pihak yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur sejak 5 Februari hingga semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sepanjang tempoh itu juga 39,950 premis di seluruh negara diperiksa manakala sebanyak 40 aduan diterima setakat ini.
Tindakan itu dilaksanakan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak meletak tanda harga, menjual lebih daripada harga siling selain menggunakan timbangan yang tidak tepat.
“Sebanyak 493 tindakan kes telah diambil membabitkan jumlah nilai kompaun sebanyak RM65,300.
“Melalui pelaksanaan OPS PASAR (Ayam) KPDNHEP sudah melakukan tindakan dengan mengeluarkan Notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mengenal pasti dan menjalankan siasatan ke atas peniaga yang disyaki mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) khusus bagi barangan ayam.
“Bermula 1 Januari hingga 28 Februari lalu, sebanyak 93 Notis dikeluarkan kepada peniaga ayam di peringkat pemborong dan peruncit,” katanya kepada BH.
Alexander berkata, pemborong dan pembekal ayam juga tidak terlepas tindakan oleh KPDNHEP sekiranya didapati menjual ayam melebihi harga maksimum yang ditetapkan Kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, dua syarikat pemborong atau pembekal ayam di Selangor sudah disiasat. Siasatan yang dijalankan itu mendapati dua syarikat terbabit menjual ayam melebihi harga borong yang ditetapkan dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk berniaga borong barang kawalan.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum akan diambil tindakan mengikut AKHAP 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Bagi pesalah individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan pesalah syarikat pula berdepan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, kementeriannya akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menerusi OPS PANTAU 2022.
Beliau berkata, OPS PANTAU 2022 yang juga kesinambungan daripada operasi sama yang dijalankan tahun lalu, bertujuan memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.
Selain itu, katanya, OPS PANTAU 2022 juga akan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara mulai 1 April lalu.
Sejak 3 April hingga semalam, sebanyak 11,904 premis di seluruh negara diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes dihasilkan membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM14,300.
“OPS PANTAU 2022 dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya hiper (hypermarket), pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.
“Pemeriksaan mengikut OPS PANTAU 2022 ini antara lain memfokuskan pemantauan terhadap beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
BHonline-