JOHOR BAHRU : Bekalan ayam dan telur ayam di pasar raya sekitar bandar raya ini tidak mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat ketika Ramadan dan dijangka berterusan hingga awal Syawal depan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam, berkata berbanding Mac lalu, bekalan ayam semakin berkurangan sejak awal bulan ini.
Justeru, beliau khuatir permintaan pelanggan yang bertambah berkali ganda sejak awal Ramadan tidak dapat dipenuhi sekiranya keadaan ini berterusan.
Menurutnya, pihaknya menerima maklum balas daripada pembekal ayam yang menyatakan bekalan masih berkurangan hingga mereka berdepan masalah, manakala segelintir pembekal memaklumkan ayam yang diperoleh adalah kecil iaitu hanya seberat 700gram hingga 800gram seekor.
“Pada masa kini, bekalan harian yang dihantar kepada kami adalah 300 kilogram berbanding tempahan satu tan. Oleh itu bekalan ayam hanya cukup untuk dijual sehingga setengah hari sahaja,” katanya menambah bekalan telur juga agak berkurangan sejak sebulan lalu.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak menerima aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam dan telur di negeri ini.
“Bekalan ayam dan telur ada di pasaran, begitu juga bahan mentah yang lain. Bagaimanapun KPDNHEP akan menjalankan pemeriksaan berkala selain berdasarkan aduan diterima,” katanya.
-Berita Harian