PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan melaksanakan penstrukturan semula menerusi pemisahan badan induk itu dengan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata langkah itu akan menyaksikan BAM hanya menumpukan tugas-tugas sebagai badan induk badminton negara sementara ABM sebagai pusat prestasi tinggi akan diuruskan sepenuhnya oleh golongan profesional.
“Masa sudah berubah dan menuntut perubahan daripada kita yang mana dari segi prestasi jurulatih, pengarah kejurulatihan dan juga barisan pemain harus dinilai secara objektif oleh profesional,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di sini, semalam.
Norza berkata menerusi pemisahan itu, semua dana yang diterima daripada penaja akan terus disalurkan kepada ABM selain penaja akan turut dipilih menjadi sebahagian daripada ahli lembaga atau Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan.
“Kami akan mengadakah perbincangan lanjut bersama PETRONAS kerana ia adalah akademi PETRONAS. Kami akan cuba memanfaatkan pengalaman PETRONAS, contohnya dalam F1 (Formula Satu), bagi memastikan persekitaran (akademi) adalah berdasarkan prestasi, petunjuk prestasi utama (KPI) dan teknologi, peralatan serta kelengkapan sukan terkini.
“Secara prinsipnya usul ini (pemisahan BAM dengan ABM) mendapat sokongan sebulat suara, namun kertas cadangan akan dibawa semula dalam Mesyuarat Khas Majlis BAM bagi mendapat kelulusan,” katanya.
Norza berkata BAM akan kekal memainkan peranan bagi memperkasakan pembangunan sukan badminton di setiap negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Katanya, bagi tujuan itu BAM akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada persatuan negeri selain mengaktifkan semula perancangan mewujudkan ABM mengikut zon.
BHonline-