GLOBAL | Menteri-menteri kabinet Sri Lanka pada Ahad menawarkan untuk meletak jawatan ekoran peningkatan protes di tengah ketidakstabilan ekonomi dan kekurangan bahan api yang meruncing.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut Xinhua, semua menteri kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan sekali gus membuka laluan untuk membentuk kabinet baru, susulan perbincangan yang diadakan dengan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa pada petang Ahad.
Bagaimanapun, Rajapaksa dan para menteri akan meneruskan tugas seperti biasa.
Rajapaksa dijangka mengeluarkan kenyataan khas pada Isnin dan mempelawa parti-parti politik untuk bersama-sama membentuk kerajaan baru.
Sejak beberapa hari Sri Lanka menyaksikan bantahan yang menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang terputus selama berjam-jam dan kekurangan bahan api atau meletak jawatan.
Sri Lanka juga mengalami kekurangan bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan mata wang asing mengakibatkan beberapa sektor terjejas.
Perintah berkurung 36 jam berkuat kuasa pada petang Sabtu dan ditarik balik awal Isnin dalam usaha memastikan undang-undang dan ketenteraman di negara itu, kata polis.
-Malaysia Kini