MERSING: Penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, yang hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini disahkan meninggal dunia.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perkara itu disahkan bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, yang diselamatkan nelayan Indonesia kira-kira pukul 1 pagi ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, remaja berkenaan meninggal dunia akibat tidak dapat bertahan.
“Kristine Grodem, 35, warga Norway; Alexia Alexandra Molina, 18, warganegara Perancis dan Adrian, 46, warganegara Britain selamat ditemukan.
“Namun, seorang remaja lelaki, Nathan yang masih belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya (Adrian) akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Nurul Hizam berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari Nathan yang dipercayai hanyut ke perairan negara itu.
Terdahulu, empat penyelam tersebut hilang pada Rabu lalu ketika menyelam bagi mendapatkan lesen Advance Open Water dan tidak timbul semula ke permukaan selepas satu jam melakukan aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun, Kristine ditemukan kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada pukul 8.15 pagi keesokan harinya.
Hari ini, Adrian dan Alexia pula ditemukan nelayan kira-kira pukul 1 pagi tadi berhampiran Pulau Bintan di Indonesia.
UtusanOnline-