Bersatu menyokong penuh rancangan untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti tetapi mahu undang-undang itu boleh digunapakai untuk jangka masa panjang, kata seorang ahli majlis tertinggi parti itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Razali Idris, yang juga senator Dewan Negara, memberitahu Malaysiakini bahawa wakil rakyat daripada parti itu juga setuju menyokong rancangan kerajaan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Isnin ini.
Pindaan itu bagi memudahkan penggubalan RUU untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti.
“Kita menyokong sepenuhnya RUU antilompat dan serahkan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin tambah baik supaya RUU tersebut boleh digunakan untuk jangka masa panjang dengan tidak mudah diubah.
“Maksudnya lengkap dan tiada pindaan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya dua penggal ke atas untuk ditambahnilai,” kata Razali.
Tambahnya, antara perkara yang perlu diperhalusi ialah definisi ‘lompat parti’ dalam undang-undang baru itu.
Media baru-baru ini melaporkan ahli-ahlii parlimen Bersatu menjadi penghalang kepada rancangan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang antilompat parti Isnin ini.
Sebaliknya sidang khas parlimen yang dijadualkan Isnin ini akan menyaksikan pembentangan pindaan perlembagaan.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tarikh baru pembentangan undang-undang antilompat parti akan diputuskan oleh perdana menteri.
Razali bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa pemimpin Bersatu menentang rang undang-undang itu.
Ditanya mengenai pendirian Bersatu mengenai pindaan perlembagaan Isnin ini, Razali berkata parti itu tidak mengeluarkan sebarang arahan khusus tetapi semua ahli parlimen parti itu menyokong cadangan tersebut.
“Tiada arahan khusus tapi kita sebulat suara menyokong. Parti lain saya tak tahulah,” katanya.
Janji untuk melakukan transformasi merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam memoradum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan tahun lalu.
Antara perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah penggubalan undang-undang bagi menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.
Bagaimanapun, selepas ditangguhkan sehingga 11 April, pembentangan RUU itu sekali lagi menemui halangan apabila kabinet dilapor membuat keputusan untuk menangguhkannya.
-Malaysia Kini