KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) bersedia berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi agihan kerusi untuk mengelak berlaku pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN akan duduk berbincang dengan pemimpin-pemimpin GRS mengenai pembahagian kerusi agar tiada pertembungan yang akan berlaku.
Beliau berkata, jika boleh pertembungan itu akan cuba dielakkan kerana berdasarkan trend semasa, semua parti mula menuntut lebih banyak kerusi.
“Sudah tentu perkara ini bukan mudah untuk dibincangkan tapi saya akan duduk berbincang dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Ketua Menteri.
“Kalau boleh kita redakan keadaan sebab sudah tentu kalau pertembungan empat parti ini berlaku maka, siapa pun yang menang selepas pilihan raya, kerajaan negeri akan tergugat dan tiada lagi ada keharmonian dalam GRS.
“Jadi, kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku,” katanya selepas majlis berbuka puasa semalam.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau melihat perkara itu bukan mudah untuk dibincangkan namun, beliau akan mengemukakan cadangan dan perbincangan yang membawa ke arah kebaikan.
Mengulas lanjut katanya, UMNO Sabah melihat keperluan mengembalikan mandat rakyat perlu diberikan segera kerana keadaaan politik negara ketika ini sangat rapuh.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, menjangka PRU15 akan diadakan sebaik sahaja Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) tamat pada 31 Julai ini.
Pada masa ini, keadaan politik tidak begitu stabil dan jika ada mana-mana parti menarik sokongan terhadap kerajaan maka, Perdana Menteri akan hilang majoriti. Jika tiada pilihan raya maka, ada lagi penggantian Perdana Menteri baharu.
“Kita telah melalui tiga kerajaan dalam satu penggal dan ini tidak baik untuk negara, ekonomi dan rakyat,” katanya.
Bung Moktar berkata, walaupun tidak pasti bila tarikhnya namun, PRU15 mesti diadakan pada tahun ini dan apa yang pasti bukan pada hujung tahun.
“Namun, bergantung kepada Perdana Menteri dan lain-lain tapi, kita lihat UMNO berpendapat PRU perlu diadakan pada tahun ini, selepas MoU tamat,” katanya.
-Utusan Online