BANDAR RAYA NEW YORK – Beberapa rakaman video yang dikongsikan di media sosial memaparkan kekecohan yang berlaku di Times Square, New York, petang kelmarin, ketika orang ramai bertempiaran lari akibat bunyi letupan kuat, lapor akhbar The Sun.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menerusi video yang disiarkan program berita Today, orang ramai dilihat berlari dengan ada yang hanya tercegat kerana tidak pasti apa yang berlaku.
Kejadian sekitar pukul 6.50 petang (waktu tempatan) itu turut menyaksikan seorang wanita hampir dilanggar oleh sebuah kereta ketika ia membelok ke laluan pejalan kaki.
Syarikat tenaga, Con Edison dalam satu kenyataan berkata, bunyi letupan itu berpunca daripada lurang kumbahan yang meletup.
“Satu lubang lurang kumbahan meletup di Times Square pada petang ini yang disebabkan oleh kegagalan kabel untuk berfungsi, manakala lurang kedua dipenuhi asap.
“Buat masa ini, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan premis dilaporkan. Kru kami masih berada di lokasi kejadian,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Kawasan sekitar lokasi kejadian ditutup oleh Jabatan Polis New York bagi memberi laluan kepada siasatan untuk dijalankan.
Anggota bomba yang memeriksa hartanah di sekitar turut menemui paras karbon monoksida yang tinggi di sebuah bangunan berdekatan.
-Kosmo Online