Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2022 (DPT BLN3/2022) yang telah diperaku semalam (14 April) dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata semakan DPT BLN3/2022 dibuka selama 30 hari mulai hari ini hingga 14 Mei depan.
Beliau berkata DPT BLN3/2022 itu mengandungi nama bagi 40,543 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 12,286 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,019 pemilih bertukar status/kategori pengundi.
Untuk semakan, beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal suruhanjaya di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mac hingga 31 Mac 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN3/2022.
“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Ikmalrudin berkata selain itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2022.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN3/2022, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
-Malaysia Kini