KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menyarankan golongan berusia 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi untuk mendapat dos penggalak kedua.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu adalah berdasarkan nasihat Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), selepas mereka meneliti kajian saintifik, kajian kohort, serta amalan di negara-negara lain.
Berdasarkan kajian tersebut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetis, berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam COVID-19.
“Individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
“Ini saya nak tegaskan bahawa ia tidak wajib, tetapi pilihan kepada mereka, individu 60 tahun ke atas can go for second booster. Kita akan umum bagaimana nak buat. Ini hanya option, tidaklah kita buat program seperti PICK dahulu,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.
Khairy berkata, golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai komorbiditi juga boleh berbuat demikian, selepas mereka mendapat pandangan dari pengamal perubatan.
Selain itu, Khairy berkata, individu berusia 12 tahun ke atas, yang mempunyai imunokompromi di tahap sederhana dan teruk boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.
Beliau berkata, buat masa ini KKM menetapkan bahawa vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.
Walaubagaimanapun, katanya lagi, pelaksanaan syor terbaharu itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.
KKM, katanya lagi, sedang mengemaskini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan perlaksanaan dos penggalak dan dos penggalak kedua untuk dua golongan tersebut.
Mengenai perkembangan berlainan, Khairy berkata, KKM bersedia untuk menerima permohonan dos penggalak bagi mereka yang ingin ke negara-negara yang tidak mengiktiraf vaksin primer tertentu.
“Sebagai contoh, ada sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer dan dos penggalak.
“Justeru, individu yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang masa sekurang-kurangnya satu (1) bulan daripada dos penggalak pertama bagi memenuhi keperluan ke luar negara.
“Contoh – saya terima dua vaksin Sinovac dan dos penggalak Pfizer, saya nak pergi Jerman, tetapi dia terima dua dos Pfizer saja, tidak terima dua dos primer Sinovac campur dos penggalak Pfizer (SSP).
Jadi kita akan terima permohonan mereka yang akan ke luar negara untuk dapat dos tambahan Pfizer,” katanya lagi.
Awani-