Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dengan gerak kerja agresif Pakatan Harapan (PH) sedang giat memancing undi atas pagar ketika ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
PH tahu mereka dalam keadaan tiada kelebihan berbanding BN dalam bentuk sokongan akar umbi selepas perpecahan yang berlaku, maka pengundi tidak berpatisan jadi sasaran.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) antara faktor kemenangan PH menghasut pengundi BN membenci BN dan yakin pada formula serta janji-janji PH.
Namun mereka tahu strategi itu tidak lagi berkesan untuk PRU-15 kerana rata-rata penyokong BN telah kembali kepada parti itu.
Itu terbukti pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan pengundi putih BN telah kembali.
Pandangan ini tidak keterlaluan malah selari dengan kenyataan Nurul Izzah Anwar yang meramalkan PH tidak akan menang untuk dua penggal lagi.
Nurul Izzah mengakui rakyat trauma dengan kegagalan kerajaan PH mentadbir negara, justeru beliau memaklumkan fokusnya kini untuk memancing pengundi atas pagar.
Bagaimanapun percaturan PH dan Nurul Izzah itu tidak semestinya membuahkan hasil kerana rakyat yang marah pada PH bukan hanya pengundi putih BN.
Pengundi tidak berpatisan juga amat marah dan tidak semestinya mereka mudah diperdaya lagi kerana zaman ini rata-rata rakyat Malaysia celik politik.
Mereka kini mampu mentafsirkan antara kebenaran dan kebatilan. Rafizi Ramli sebagai contoh melancarkan serangan terhadap Najib Razak dalam isu Sapura Energy.
Tetapi serangannya amat kurang berkesan kerana rakyat telah banyak belajar daripada kesilapan PRU-14 selain aura Bossku dimiliki Najib hari ini.
Namun waima apa sekali pun BN tidak boleh memandang rendah terhadap strategi baharu PH tersebut sebaliknya perlu bertindak segera seandainya lawan kembali bergabung.
BN perlu memperkasakan gerak kerja komunikasi yang lebih efektif bagi menangkis segala tohmahan dan janji-janji baharu PH terhadap pengundi atas pagar.
Pengundi atas pagar perlu diingatkan tentang kepentingan memilih parti yang benar-benar terbukti mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada mereka.
Para ibu bapa pengundi BN pula perlu memastikan anak-anak Undi18 memahami senario politik Malaysia supaya mereka tidak mudah terpesona dengan kata-kata para pemidato PH.
Perlu ingat PRU-15 satu-satunya peluang untuk rakyat mengembalikan Malaysia di landasan yang sebenar seperti yang pernah kita nikmati sebelum 9 Mei 2018.
-Mynewshub