MOSCOW : Russia mengerahkan tentera ikan lumba-lumba untuk berperang di kawasan laut serta berperanan melindungi armada dari serangan dalam air.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Lapor The Guardian, Institut Angkatan Laut Amerika Syarikat (USNI) meninjau imej satelit dari Pangkalan Angkatan Laut Russia di Pelabuhan Sevastopol, Laut Hitam.
Pihaknya mendapati terdapat dua sangkar ikan lumba-lumba dipindahkan ke pangkalan Februari lalu, semasa pencerobohan awal di Ukraine.
Difahamkan, Russia memiliki sejarah melatih ikan lumba-lumba bagi tujuan ketenteraan sejak 50 tahun lalu.
Mamalia laut itu ditugaskan untuk mengambil objek atau menghalang penyelam dari pihak musuh.
Pangkalan AL di Sevastopol merupakan tempat wajib bagi operasi ketenteraan Russia kerana lokasi itu terletak di hujung selatan Crimea yang dirampas dari Ukraine, 2014.
Menurut analisis USNI, banyak kapal Russia yang berlabuh di pangkalan tersebut.
Walaupun lokasi tersebut jauh daripada serangan peluru berpandu, namun, kawasan itu juga terdedah dengan serangan di bawah air.
Dalam masa sama, Ukraine juga pernah melatih ikan lumba-lumba di akuarium berdekatan Sevastopol, menerusi program yang tercetus sejak era Soviet yang diabaikan pada 1990an.
Semasa perang dingin, AS dan Kesatuan Soviet membangunkan penggunaan ikan lumba-lumba yang berupaya mengesan objek bawah air.
Sebelum ini, AS pernah menghabiskan AS$28 juta (RM112 juta) untuk melatih pasukan ikan lumba-lumba dan singa laut bagi membantu mengatasi konflik.
Program Sevastopol dihidupkan kembali pada 2012 oleh Angkatan Laut Ukraine, tetapi mamalia tersebut menjadi rebutan Russia selepas pencerobohan di Crimea, 2014.
Sumber kepada agensi berita Russia membongkarkan Moscow dipercayai akan meneruskan projek tersebut.
“Pakar kami membangunkan peranti baharu yang menukar pengesanan sasaran bawah air oleh ikan lumba-lumba kepada isyarat monitor pengendali.
“Tentera Laut Ukraine kekurangan dana untuk membangunkan projek tersebut sehingga menyebabkan beberapa projek terpaksa dihentikan,” katanya.
-Utusan Online