PETALING JAYA : Jabatan Imigresen Malaysia menafikan hanya membuka tiga kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga menyebabkan berlaku kesesakan pada 3 April lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menerusi hantaran di Facebook rasmi agensi itu memberitahu, pada hari tersebut sebanyak 26 kaunter beroperasi selain kaunter autogate turut dibuka sepenuhnya.
Kesesakan yang didakwa itu kerana terdapat dalam kalangan pelawat asing yang tidak melengkapkan borang Traveller’s Form di dalam sistem MySejahtera.
“Mereka terpaksa dibantu oleh pegawai-pegawai imigresen dan keadaan ini menyebabkan kelewatan dan kesesakan.
“Selain itu pada hari berkenaan juga terdapat jemaah umrah Indonesia yang transit di KLIA. Kehadiran mereka tanpa pengurusan pihak yang mengendalikan transit berkenaan telah menyumbang kepada kesesakan tersebut,” kata imigresen.
Mengulas lanjut, kesesakan berkenaan berjaya diatasi dengan kerjasama semua pihak di KLIA terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan.
“Sebagai agensi barisan hadapan di Pintu Masuk Negara, imigresen akan terus memberikan komitmen terbaik dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan urusan keluar masuk pelancong dan pelabur asing serta warga tempatan lancar,” jelasnya.
-Utusan Online