Kuala Lumpur : Kadar inflasi dan kos sara hidup di Arab Saudi antara penyebab kos menunaikan ibadah haji meningkat sebanyak 139 peratus dari 2001.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Berdasarkan kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, faktor lain peningkatan kos juga merangkumi pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan percukaian baharu di Arab Saudi.
“Selain itu, faktor lain juga membabitkan penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kemudahan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.
“Semua ini mendorong kepada peningkatan kos menunaikan ibadah haji yang dikesan TH,” katanya.
Katanya, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan menunaikan ibadat haji seperti penerbangan (cater), penginapan, pengangkutan bas, sajian makanan dan mutawif untuk tempoh 40 hingga 45 hari ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sebelum ini, TH menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.
TH dalam kenyataan memaklumkan kos berkenaan adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.
TH menanggung 56 peratus daripada keseluruhan kos haji bagi seorang muassasah hasil sumber bantuan kewangan haji atau subsidi daripada pendapatan aktiviti pelaburan TH.
Ia berdasarkan kiraan agihan keuntungan membabitkan pendapatan pelaburan, kos operasi TH, bantuan kewangan haji dan zakat.
Agihan keuntungan diberikan kepada semua pendeposit setiap tahun mengikut kadar peratusan.
Semalam kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan hanya sejuta umat Islam di bawah usia 65 tahun dari dalam dan luar negara itu menunaikan haji pada tahun ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, jumlah maksimum itu dibuat bagi memelihara keselamatan jemaah serta pengunjung Masjid Nabawi susulan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, TH masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan jumlah jemaah dari Malaysia yang dapat menunaikan haji tahun ini susulan pengumuman Arab Saudi itu.
-Harian Metro