ALOR SETAR: Seorang jurutera kerugian RM61,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mengaku sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 8 April lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kulim menerima panggilan itu dari seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai LHDN dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai ke atas syarikat mangsa berjumlah RM36,600.90.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata jurutera lelaki berusia 25 tahun itu pada mulanya menafikan mempunyai tunggakan cukai berkenaan.
“Panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang untuk membuat pengesahan.
“Mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat peribadi milik mangsa, jika ingkar satu waran tangkap akan dikeluarkan kepada mangsa.
“Terpedaya dengan tipu helah suspek, mangsa diminta untuk memindahkan wang miliknya ke akaun bank yang diberi untuk tujuan semakan bahawa sumber kewangan itu sama ada dari sumber kewangan yang sah.
“Mangsa mengaku mendedahkan maklumat perbankan akaun beserta kata laluan kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Elias berkata, bermula pada 9 hingga 16 April 2022 lalu, mangsa memindahkan RM61,450 ke akaun berkenaan.
Beliau berkata, mangsa juga diarahkan melapor diri setiap 4 jam kepada suspek bagi memastikan mangsa berada di bawah kawalan suspek.
“Mangsa buat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu sebelum satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
BHonline-