TOKYO: Artis manga terkenal Jepun, Fujiko Fujio A, yang popular dengan kartun digemari kanak-kanak termasuk ‘Ninja Hattori’ dan ‘Little Ghost Q-Taro’ meninggal dunia pada usia 88 tahun, lapor media tempatan hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pelukis dengan nama sebenarnya Motoo Abiko, ditemui di luar kediamannya dekat Tokyo hari ini, menurut stesen penyiar swasta TBS dan beberapa laporan media yang lain.
Polis bagaimanapun enggan mengesahkan laporan itu kepada AFP, namun ramai pelukis dan mereka yang berada industri penerbitan menzahirkan penghormatan mereka kepada Abiko menerusi ciapan Twitter.
Abiko adalah anak lelaki sulung seorang sami di sebuah kuil bersejarah di wilayah Toyama tengah.
Namun keluarganya meninggalkan kuil selepas kematian bapa Abiko ketika beliau berada di tahun kelima atau gred lima persekolahan.
“Kematian ayah banyak mengubah hidup saya. Jika dia tidak meninggal dunia, saya fikir saya akan menjadi seorang sami,” katanya kepada akhbar harian, Asahi Shimbun, pada 2020.
Di sekolah menengah, beliau berkawan dengan Hiroshi Fujimoto, yang kemudiannya mencipta kartun Jepun sangat digemari, ‘Doraemon’ dan pasangan itu mula bekerjasama.
Mereka membentuk usaha sama pada 1951, bersama-sama menghasilkan karya di bawah nama pena ‘Fujiko Fujio’ dan berkongsi apartmen Tokyo dengan artis manga terkenal lain termasuk Osamu Tezuka.
Salah satu karya awal mereka berdua ialah ‘Q-Taro’ yang mengisahkan seorang anak hantu yang baik tetapi nakal mula hidup bersama keluarga manusia, sekali gus diminati di Jepun dan luar negara.
Abiko juga menghasilkan pelbagai manga sendiri termasuk ‘Ninja Hattori’ mengisahkan seorang ninja menjadi kawan baik dengan kanak-kanak biasa serta karya lain yang disasarkan kepada golongan dewasa.
Walaupun sudah lama bekerjasama dengan Fujimoto, Abiko pernah mengakui beliau tidak mengikuti kartun ‘Doraemon’ dengan tekun.
“Saya mengelak daripada membacanya sebagai langkah berjaga-jaga kerana apabila saya membacanya, saya terpengaruh dengan mereka dan berfikir saya tidak boleh melukis seperti itu,” katanya sambil ketawa.
BHonline-