PUTRAJAYA – Di saat bahang kemeriahan sambutan Aidilfitri yang kian terasa, tumpuan rakyat terarah kepada sidang akhbar Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dijadualkan berlangsung jam empat petang ini.
Ia berikutan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 akan diumumkan Khairy.
“Beberapa perkara saya akan umumkan petang ini,” ciapnya di Twitter pada Rabu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan tiga kelonggaran SOP berkaitan pemakaian pelitup muka, penggunaan imbasan MySejahtera serta ujian saringan Covid-19 di lapangan terbang.
Desas-desus mengenai kelonggaran SOP tersebut sejak penghujung bulan lalu selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan sudah tiba masanya amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan.
Selain itu, amalan pemakaian pelitup muka dijangka akan dijadikan sebagai pilihan dan tidak lagi diwajibkan.
-Sinar Harian