KUALA LUMPUR – Siasatan polis sebelum ini mendapati kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, bedah siasat telah dibuat dan punca kematian sudah disahkan oleh doktor.
“Kita sudah dapat laporan bedah siasat dan mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian mangsa, namun begitu kita akan menjalankan siasatan menyeluruh agar dakwaan ini dapat dijelaskan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ashari memaklumkan, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Pada Selasa, media melaporkan penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur yang menunjukkan sebab sebenar kematiannya disebabkan pneumonia (radang paru-paru).
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, semakan pihaknya turut mendapati satu laporan dibuat oleh pemilik Rumah Bonda berhubung kematian Adam.
Pada Selasa, Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat satu laporan polis di Balai Polis Setiawangsa di sini, meminta polis membuka semula siasatan membabitkan kematian Adam.
Ketuanya, Bibi Sunita S Khan, dilaporkan berkata, kematian Baby Adam pada 3 Mei 2020 didakwa ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak di sini.
-Sinar Harian