Putrajaya : Republik Rakyat China menghulurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk disalurkan kepada Jawi Food Bank.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Sumbangan disampaikan Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Ouyang Yujing kepada Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, tadi.
Jawi melalui kenyatannnya memaklumkan sumbangan itu bertujuan menjayakan misi bantuan Musaadah Covid-19 melalui program JAWI Food Bank yang memberikan manfaat kepada penerima dari pelbagai golongan masyarakat di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, penerima terdiri dari petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, golongan B40, peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta gelandangan dan golongan bukan Islam.
Katanya, sumbangan Republik Rakyat China kepada Jawi Food Bank itu adalah kali keempat diadakan sejak 2020 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM500,000.
Katanya, sehingga kini Jawi Food Bank dengan kerjasama rakan strategik sudah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM 5.3 juta kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dan memerlukan semenjak pandemik melanda negara khususnya di Wilayah Persekutuan.
Jelasnya, bantuan yang berpusat di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur itu menyediakan perkhidmatan secara ‘walk in’ dan dihantar terus kepada penerima.
-Harian Metro