ISLAMABAD: Mahkamah tertinggi Pakistan hari ini menangguhkan perbicaraan kes mempertikaikan kesahihan tindakan Perdana Menteri, Imran Khan, menyekat cubaan parti pembangkang untuk menyingkirkannya.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Khan yang juga bekas bintang kriket, hilang majoriti di Parlimen minggu lalu, selepas pihak pembangkang berjaya mengumpul sokongan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya yang sepatutnya diadakan semalam.
Bagaimanapun, timbalan Speaker yang juga anggota parti Khan, menolak usul itu, sekali gus mengelakkannya kalah teruk, dengan alasan ia adalah konspirasi kuasa asing dan tidak berperlembagaan.
Apapun keputusan Mahkamah Agung, Pakistan akan tetap mengadakan pilihan raya sebelum tamat sidang Parlimen sedia ada dan perdana menteri baharu akan dilantik menjelang 2023.
Sekiranya keputusan berpihak kepada Khan, undi akan diadakan dalam tempoh 90 hari dan pihak pembangkang juga mahu pilihan raya diadakan lebih awal.
Ketua pembangkang, Shehbaz Sharif, menggelar tindakan menghalang undi itu sebagai perbuatan mengkhianati negara.
Khan turut membubarkan Kabinet dan mahu pilihan raya diadakan dalam tempoh 90 hari, walaupun keputusan itu berada di tangan presiden dan suruhanjaya pilihan raya selain bergantung kepada keputusan perbicaraan mahkamah.
Presiden Arif Alvi, dalam kenyataannya, berkata Khan akan kekal sebagai perdana menteri interim sehingga pemangku perdana menteri dilantik bagi mengadakan pilihan raya.
BHonline-