BANGKOK: Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang anggota polis yang melanggar hingga mati seorang pejalan kaki di persimpangan jalan di ibu kota Bangkok, kes yang menimbulkan kemarahan ramai terhadap rekod keselamatan jalan raya negara itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Sarjan polis yang tidak bertugas ketika kejadian, dikenali sebagai Norawit Buadok merempuh Waralak Supawatjariyakul dengan motosikalnya ketika pejalan kaki itu sedang melintas jalan di hadapan hospital tempat dia bekerja sebagai doktor mata Januari lalu.
Sebuah video nahas itu menjadi viral di media sosial di Thailand, mencetuskan kemarahan dan perdebatan mengenai keselamatan pejalan kaki di negara yang mempunyai salah satu kadar kematian trafik jalan raya tertinggi di dunia.
Mahkamah jenayah Bangkok hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Norawit kerana menyebabkan kematian dengan memandu laju, ditambah sebulan kerana memandu secara cuai.
Beliau juga didenda 8,000 baht (RM1,023) untuk beberapa kesalahan kecil.
Hukumannya dikurangkan separuh kerana dia mengaku bersalah, menjadikannya hanya perlu menjalani hukuman selama setahun 15 hari, dan membayar denda 4,000 baht (RM522.70).
Kemalangan itu mencetuskan demonstrasi di Bangkok, menggesa perlindungan yang lebih baik untuk pejalan kaki di jalan raya yang sesak di bandar itu.
Thailand mempunyai kadar kematian trafik kedua tertinggi di dunia, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2018.
BHonline-