PUTRAJAYA: Malaysia memutuskan untuk mengundi berkecuali terhadap penggantungan Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia yang terlibat dalam proses pengundian menyertai 57 negara lagi yang berkecuali semasa sesi khas ke-11 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
“Dalam pernyataan yang disampaikan selepas pengundian itu, Malaysia menekankan keputusan penting seperti penggantungan ahli itu tidak boleh dibuat terburu-buru,” katanya.
Sesi itu yang disambung semalam, memutuskan menggantung keanggotaan Rusia dalam MHAM dengan 93 negara menyokong, 24 negara menentang dan 18 negara tidak mengundi. Ia mengandungi 47 negara yang dipilih bagi tempoh tiga tahun bagi setiap penggal dengan Malaysia pernah menjadi anggotanya pada 2006-2009, 2010-2013 dan terbaharu 2021-2024.
MHAM merupakan badan khas di bawah PBB dengan prosedur menetapkan keahlian boleh digantung jika ada melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang teruk dan sistematik.
Wisma Putra menambah, keputusan penggantungan perlu diberikan masa untuk dibincangkan dan berpendapat Suruhanjaya Siasatan wajar mendapat cukup waktu.
“Suruhanjaya ini ditubuhkan pada Mac lalu dan seharusnya diberi ruang masa menjalankan siasatan dan membentangkan penemuannya terlebih dahulu bagi pengesahan. Sebagai ahli MHAM, Malaysia mengulangi pendirian prinsipnya tidak menyokong sebarang tindakan yang cuba mempolitikkan isu-isu dibentangkan dalam majlis berkenaan,” katanya.
Meskipun situasi di Ukraine dilaporkan media sebagai amat membimbangkan, Malaysia akan terus memantau segala perkembangan termasuk situasi kemanusiaan di kawasan bergolak.
“Justeru Malaysia mengulangi seruan agar bantuan kemanusiaan dapat dihulurkan tanpa halangan kepada semua pihak yang terkesan terutama golongan rentan. Bahkan Malaysia menggesa semua pihak supaya meredakan ketegangan dan meneruskan dialog serta rundingan damai yang selaras dengan perundangan sejagat,” kata kenyataan itu,
Konflik dua negara jiran di Eropah itu tercetus apabila Rusia melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh tanpa diduga pada 24 Februari lalu dengan menceroboh wilayah Ukraine.
UtusanOnline-