SEREMBAN : Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipenjara 14 hari dan denda RM17,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM3,500 untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Najmi Zakaria, 38, yang berkhidmat 14 tahun di JPJ mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan Mohd. Najmi dijatuhi hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 28 Mac lalu, dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 JPJ Negeri Sembilan didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang berjumlah RM3,500 daripada pemilik syarikat Lukut Agency.
Wang itu sebagai dorongan bagi dirinya yang merupakan pegawai badan awam untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan lapan buah kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) APJ 1987.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Seremban antara 13 Februari 2018 hingga 31 Mei 2019.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh bagi satu lagi pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).
-Utusan Online