Bangi : Draf akhir Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok dan milikan produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 sedang diteliti Pejabat Jabatan Peguam Negara.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, draf RUU berkenaan sudah selesai diperincikan dan di peringkat akhir sebelum dibawa ke Parlimen pada Julai ini.
Menurutnya, ia adalah usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan golongan yang lahir selepas 2005 tidak kenal dan tidak terbabit dengan sebaran produk tembakau dan vape.
“KKM sudah bertemu dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan industri tembakau untuk mendapatkan maklum balas.
“Penelitian mengenai hasil pertemuan itu diperincikan bagi membolehkan RUU yang dibentangkan Julai nanti mendapat sokongan Ahli Parlimen.
“Draf akhir RUU itu sudah siap dan kini dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk penelitian sebelum dibentangkan di Parlimen, Julai ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (Gegar-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.
Khairy berkata, impak RUU itu kelak membolehkan kerajaan memastikan generasi yang lahir selepas 2005 bebas daripada rokok, bukan sahaja baik untuk kesihatan malah buat ekonomi dan produktiviti negara.
Dalam pada itu, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menyokong usaha yang dilakukan KKM untuk memastikan generasi muda bebas rokok.
“Peranan KPM sangat penting dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan di sekolah dan intervensi kepada murid yang memerlukan bantuan lanjut akan dijalankan oleh semua guru kaunselor.
“KPM juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak lain termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan profesional, NGI dan agensi lain yang terbabit dalam memastikan kejayaan Program Gegar-18,” katanya.
-Harian Metro