SHAH ALAM – Proses penamaan calon peringkat pimpinan di semua 222 cabang seluruh negara bagi Pemilihan Keadilan 2022 akan berlangsung selama tiga hari, bermula Rabu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam coretannya di Facebook turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang mengambil bahagian dalam pemilihan di peringkat cabang.
“PKR merupakan satu-satunya parti politik yang mempunyai wakil sah dan berdaftar di semua 222 kawasan Parlimen. Ini adalah antara sesuatu yang anggota PKR boleh banggakan.
“Berkempenlah dalam semangat kekeluargaan untuk memberi kekuatan kepada akar umbi PKR. Semoga berjaya,” katanya.
Pemilihan PKR 2022 kali ini menjadi tumpuan kerana melibatkan pemilihan presiden parti dan lima jawatan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat di peringkat cabang yang berlangsung Mei ini.
Lima jawatan tertinggi yang akan dipilih pada mesyuarat cabang melalui kaedah satu orang satu undi itu ialah seorang timbalan presiden dan empat naib presiden.
Mengikut sistem baharu itu, baki 20 ahli majlis pimpinan pusat (MPP) akan dipilih oleh 2,664 perwakilan pada kongres nasional PKR pada akhir Jun ini, dengan setiap cabang akan menghantar kira-kira 12 perwakilan untuk menyertai Kongres Nasional PKR.
Antara tumpuan utama dalam pemilihan kali ini adalah bagi pemilihan Timbalan Presiden yang akan menyaksikan pertembungan antara Saifuddin Nasution dan bekas Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.
-Sinar Harian