BANGKOK: Seorang penghantar barang besar kemungkinan dijangkiti varian Covid-19 baharu yang belum pernah dikesan lagi di Thailand.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr. Supakit Sirilak berkata, penghantar barang itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 34 tahun yang berkemungkinan dijangkiti varian XJ.
Jelasnya, varian XJ merupakan gabungan varian BA1 dan BA2 yang mula dikesan buat kali pertama di Finland.
Katanya, ujian penjujukan genom 22 Februari lalu, di Hospital Bangkok mendapati strain koronavirus itu sangat dekat dengan rekombinan XJ.
“Kita masih perlukan lebih banyak maklumat untuk pengesahan.
“Besar kemungkinan ia adalah rekombinan XJ,” katanya lapor Bangkok Post.
Dr. Supakit berkata, lelaki itu sudah menerima suntikan dua dos vaksin Sinopharm.
“Pekerjaannya menyebabkan dia berjumpa ramai orang dan terdedah kepada jangkitan itu,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Perubatan Genomik Hospital Ramathibodi mengesahkan penemuan kes pertama jangkitan Omicron XE.
Bagaimanapun, Dr. Supakit menjelaskan setakat ini tiada bukti menunjukkan gabungan dua rekombinan itu lebih berbahaya berbanding varian sedia ada yang merebak di seluruh negara.
Varian Omicron merupakan varian dominan di Thailand dan lebih mudah berjangkit berbanding varian BA1.
UtusanOnline-