KUALA TERENGGANU: Kalangan peniaga ayam yang dikompaun sebanyak RM500 di Pasar Chabang Tiga di sini tertekan kerana sering menjadi sasaran pihak berkuasa susulan kenaikan harga barangan itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Wakilnya, Mohd. Irfan Omar, 42, berkata, situasi itu seolah-olah penganiayaan buat mereka yang terpaksa menanggung segala akibat daripada harga ayam yang melambung.
Katanya, tindakan menjual ayam melebihi kadar RM8.90 sekilogram yang ditetapkan adalah bagi meraih sedikit keuntungan dan menampung kos-kos lain berikutan harga tinggi dikenakan pembekal.
“Balik-balik peruncit yang jadi mangsa keadaan, sedangkan harga daripada pembekal adalah RM8.50 sekilogram dan tidak berbaloi untuk kita berniaga dengan untung hanya 40 sen dengan kos plastik, ais dan upah pekerja.
“Kalau kerajaan mahu mengawal harga ayam, selesaikan dahulu di peringkat ladang dan bukan berterusan menganiaya kami di pasar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Semalam, seramai 11 peniaga termasuk seorang pemborong di Pasar Chabang Tiga dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM500 seorang, gara-gara menjual ayam segar melebihi harga RM8.90 yang ditetapkan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka dikesan mengenakan harga antara RM9.30 hingga RM10 sekilogram kepada pengguna.
Sementara itu, pekerja Manan Supply, Zuraidie Zaidi, 32, berkata, jualan ayam di kedai majikannya perlahan kebelakangan ini dan setakat pukul 10 pagi semalam hanya 15 ekor yang laris.
Katanya, keadaan itu sekali gus menjejaskan pendapatan rata-rata peniaga, hingga ada yang turut berputus asa untuk meneruskan perniagaan berkenaan.
“Setiap hari kita menerima bekalan 70 ekor ayam segar tetapi belum tentu kesemuanya habis dan terpaksa dijual semula keesokan hari. Memang tidak padan jika mengikut harga siling ditetapkan kerajaan kerana memberi kerugian besar kepada peniaga,” katanya.
UtusanOnline-