MELAKA – SWM Environement Sdn Bhd (SWM Environment) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Melaka akan meningkatkan operasi pada hari raya Aidilfitri ini bagi memastikan lambakan sampah tidak berlaku.
Ikuti Mynewshub:Ā Facebook,Twitter,Ā TikTok,Ā Telegram,Ā Instagram
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, ini berikutan kutipan sampah domestik dijangka meningkat tiga kali ganda pada musim perayaan tersebut.
Menurutnya, SWM dan SWCorp melancarkan strategi pembersihan selain operasi khas yang telah bermula pada 25 April lalu hingga 7 Mei depan bagi mengatasi masalah tersebut.
Katanya, strategi yang digariskan termasuk memberi tumpuan kepada 87 lokasi ‘hotspot’ tong sampah berpusat dan daripada jumlah itu 49 lokasi di daerah Melaka Tengah; 21 di Jasin dan 17 di Alor Gajah.
“Peningkatan dijangka berlaku memandangkan tahun ini umat Islam dibenarkan berkumpul dan beraya bersama sanak saudara.
“Jadi tong sampah berpusat ini diletakkan di lokasi tumpuan untuk mengelakkan sampah berlonggok dan pembuangan sampah domestik serta pukal yang tidak terkawal sepanjang tempoh itu,” katanya selepas menyempurnakan Pelan Strategi Operasi Sempena Aidilfitri 2022 di Banda Hilir, pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus Besar SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.
Tambah beliau, operasi pembersihan sepanjang Aidilfitri akan melibatkan seramai 946 anggota bersama 197 jentera.
“SWM Environment akan melakukan jadual kutipan lebih awal iaitu bermula dari jam 2 pagi pada Aidilfitri ini berbanding pada hari biasa.
“Ini bagi memberi ruang kepada kakitangan untuk solat Subuh dan menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya.
-Sinar Harian