ISKANDAR PUTERI : Polis sedang mengesan pemandu kenderaan jenis Toyota C-HR berwarna merah yang terlibat dalam satu kejadian langgar lari dipercayai berlaku di sekitar bandar raya ini, pada 11 April lalu.
Ikuti Mynewshub:Ā Facebook,Twitter,Ā TikTok,Ā Telegram,Ā Instagram
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesan kejadian berkenaan melalui satu rakaman video yang tular dalam media sosial, semalam.
Katanya, pemandu kenderaan telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
āPada pukul 10 malam, 13 April lalu, polis mengesan satu video dalam laman Facebook Jabatan Netizen Negara (Official) memaparkan sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan langgar lari dengan sebuah motosikal.
āHasil semakan mendapati, dua laporan polis telah dibuat bersangkut kes langgar lari yang pertama di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam manakala kejadian kedua di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada 11 April, kira-kira pukul 9.30 malam,ā katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.
Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 34 dan 24 saat yang mana salah satu daripadanya menunjukkan kenderaan jenis Toyota C-HR berkenaan merempuh sebuah motosikal selepas melakukan pusingan U sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Sementara itu, video kedua pula memaparkan rakaman menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
-Utusan Malaysia