JELEBU: Polis menangkap seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu di sini, awal pagi semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, tangkapan kedua itu melibatkan banduan bernama Mohd. Zairizan Zainal, 42, yang ditahan di Kampung Petasih Tengah, Pertang pada pukul 5.15 pagi tadi.
Beliau turut mengesahkan, lelaki yang ditangkap itu merupakan banduan tahanan reman yang masih dalam proses perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Tangkapan kedua ini, dia telah masuk ke rumah orang kampung dan mengambil kunci kereta dan cuba keluar dengan kenderaan tersebut namun berjaya dihalang. Polis dengan bantuan orang kampung berjaya menangkap lelaki tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di sini hari ini.
Maslan berkata, tangkapan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu menjadikan keseluruhan dua banduan berjaya ditangkap daripada keseluruhan tujuh orang yang melarikan diri dalam kejadian awal pagi semalam.
Tangkapan pertama, iaitu melibatkan banduan bernama Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 petang semalam.
Sementara itu, beliau menambah, hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu yang mana kesemua banduan reman tersebut ditempatkan.
“Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling dan keluar ke ruang penyelenggaraan dan terus ke pagar belakang blok tersebut yang disyaki telah dipotong. Pihak polis mengesyaki mereka menggunakan alat pemotong besi untuk meloloskan diri daripada pintu belakang menuju kawasan semak di penjara tersebut,” katanya.
Jelas Maslan, pihak polis kini terus menjalankan operasi mengesan dan menangkap baki banduan yang masih bebas dengan tumpuan pencarian di kawasan Pertang.
“Lima lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd. Yusof, 28; dan seorang warganegara Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.
“Pihak polis juga mendirikan empat sekatan jalan raya di kawasan pentadbiran IPD Jelebu dan tiga sekatan jalan raya di sempadan daerah Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol.
“Operasi mengesan dan menangkap banduan terbabit juga mendapat bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.
Tambah beliau, tangkapan pertama dibenarkan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk tangkapan kedua akan dijalankan esok di mahkamah yang sama.
UtusanOnline-