ARAU : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyumbang sebanyak 50 unit tablet kepada pelajar dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) di negeri ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Tablet jenis Lenovo Tab M7 itu masing-masing diagihkan kepada 25 penuntut UiTM Perlis dan 25 lagi membabitkan mahasiswa Unimap.
Penyerahan sumbangan melalui peruntukan zakat PTPTN itu disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah PTPTN, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemberian tablet tersebut sekurang-kurangnya membantu para pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Peranti ini sememangnya menjadi keperluan dalam norma baharu ketika ini dengan proses pembelajaran banyak dilaksanakan secara dalam talian.
“Diharapkan sumbangan tablet tersebut dapat membantu meringankan beban para pelajar sekali gus memudahkan mereka dalam pembelajaran,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis penyerahan tablet tersebut di UiTM cawangan Perlis, di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama PTPTN, Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis (Jati).
Yang hadir sama Rektor UiTM Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi dan Timbalan Rektor HEP UiTM Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.
Sementara itu, sejurus selepas majlis tersebut, rombongan diketuai Fathul Bari meluangkan masa mengunjungi beberapa rumah pelajar UiTM di sekitar Taman Sri Wang, di sini bagi menyampaikan bantuan.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyampaikan bantuan berupa toto dan bakul makanan kepada pelajar di rumah terbabit.
Pelajar terbabit turut menerima sumbangan barangan basah dari UiTM Perlis.
-Utusan Online