MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dikatakan menggunakan khidmat penyamar yang mempunyai rupa paras seperti dirinya bagi tujuan keselamatan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Putin dilaporkan telah memecat lapan jeneral kanannya kerana tidak berpuas hati penaklukan Ukraine berlangsung perlahan dan beliau bimbang akan menjadi sasaran bunuh.
Penyamar tersebut dipercayai tinggal di kompleks Presiden di Moscow yang dikenali sebagai ‘Istana Putin’ dan dilatih untuk berjalan serta berperwatakan seperti pemimpin itu.
“Kami tahu Putin kini paranoid tentang keselamatannya. Tindakan menggunakan penyamar menunjukkan pasukan beliau memandang serius perkara tersebut.
“Saya tidak terkejut sekiranya dalam beberapa bulan lagi, kita mendengar mengenai kematian Putin dan alasan yang diberikan adalah serangan jantung atau penyakit yang sudah lama dihidapi.
“Saya tidak fikir mereka (Kremlin) akan mengakui bahawa ia berpunca daripada rampasan kuasa dalaman,” kata seorang sumber kepada akhbar Britain, Daily Star.
Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama media Rusia pada 2020, Putin pernah ditanya soalan sama ada beliau adalah Vladimir Putin yang sebenar.
Pemimpin Rusia itu ditawarkan untuk menggunakan khidmat seorang penyamar sebagai langkah perlindungan peribadi ketika konflik Chechnya berlangsung, namun menolak tawaran tersebut.
Kosmo-