KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penemuan rangka manusia di New South Wales, Australia, kelmarin adalah rakyat negara ini yang ditawarkan pekerjaan di ladang oleh sindiket dadah didalangi warga asing.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata semakan mendapati mangsa yang dipercayai dibunuh lebih setahun lalu, berusia 25 tahun dan berasal dari Sarawak.
“Laporan media tempatan berhubung kematian lelaki dipercayai warga Malaysia di Australia adalah benar.
“Mangsa dikatakan memasuki Australia pada November 2016 menggunakan visa pelancong dan ditawarkan sebagai pekerja ladang oleh sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media tempatan yang memetik agensi berita 9news melaporkan, identiti rangka manusia ditemui itu dikenal pasti sebagai Chong Kai Wong atau Jacky.
Polis Australia memaklumkan, mangsa pernah dilaporkan hilang dan dipercayai mati antara 25 Disember 2020 hingga 8 Januari 2021.
Ayob Khan berkata, siasatan masih diteruskan pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
BHonline-