MOSCOW: Pengarah angkasa lepas Russia, Dmitry Rogozin, hari ini berkata, hubungan di antara rakan kongsi Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan projek angkasa lain mungkin dapat dipulihkan semula sekiranya sekatan Barat terhadap Moscow ditarik balik.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Roscosmos berkenaan dalam hantaran di media sosial berkata, matlamat pelaksanaan sekatan itu untuk membunuh ekonomi Russia dan mengheret rakyatnya berputus asa dan dalam kelaparan, bertujuan membuat negara itu dalam keadaan terdesak’.
“Mereka tidak akan berjaya melakukannya, tetapi niat itu jelas.
“Disebabkan itu saya percaya pemulihan hubungan di antara rakan kongsi di ISS dan projek lain mungkin berhasil dengan penghapusan sepenuhnya, tanpa syarat semua sekatan yang tidak sah,” katanya.
Rogozin menambah, cadangan Roscosmos mengenai jangka masa menamatkan kerjasama ISS dengan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan Eropah dan Jepun akan dilaporkan kepada pihak berkuasa Russia tidak lama lagi.
Beliau sebelum ini berkata, sekatan itu boleh ‘memusnahkan’ kerjasama di antara AS-Russia di ISS.
Barat mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Russia susulan tindakan Moscow melancarkan perang yang dianggap sebagai ‘operasi ketenteraan khas’ di Ukraine, pada 24 Februari lalu.
Di sebalik ketegangan yang berlaku, seorang angkasawan AS dan dua orang angkasawan Russia selamat mendarat di Kazakhstan Rabu lalu, selepas meninggalkan stesen angkasa di atas kapsul yang sama.
Pada bulan lalu, Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, pihaknya menggantung kerjasama dengan Roscosmos berhubung misi rover ExoMars untuk mencari tanda-tanda kehidupan di permukaan Marikh.
BHonline-