KYIV: Harapan bagi gencatan senjata menjelang sambutan Easter kian pudar apabila pihak berkuasa di dua wilayah timur Ukraine memaklumkan serangan lebih ganas dan pertempuran amat sengit dengan tentera Russia.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Gabenor wilayah utara Kharkiv, Oleg Sinegubov, berkata Kyiv merampas semula tiga perkampungan berhampiran sempadan Russia selepas pertempuran sengit.
“Unit kami menendang keluar tentera Russia dari penempatan di Bezruki, Slatine, Prudyanka,” katanya yang turut menambah pasukan Ukraine berjaya mengamankan kedudukan mereka.
Katanya pertempuran itu bermula sejak pagi semalam di perkampungan yang terletak di bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv dan berdekatan wilayah Russia
Sinegubov mendakwa tentera Russia turut menyerang infrastruktur kediaman dan membunuh dua orang awam.
Beliau juga bersetuju dengan ketua agama tempatan bahawa tiada upacara gereja, menjelang sambutan Easter Orthodox akan diadakan kali ini.
“Kita tidak boleh membenarkan orang ramai diancam bahaya, keselamatan perlu diutamakan,” katanya.
Gabenor wilayah kejiranan Lugansk, Sergiy Gaiday, berkata pertempuran ganas turut berlaku di kawasannya.
“Berlaku bedilan sepanjang masa,” katanya yang turut memaklumkan tentera Russia terus menyerang bandar Rubizhne dan Severodonetsk.
Beliau menggesa orang ramai untuk keluar sekiranya terdapat peluang dan berkata sukarelawan akan membantu penduduk meninggalkan kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau, berkata tentera Moscow tidak meraih sebarang kejayaan dan berjanji akan ‘menghalau mereka, mengusir mereka dari tanah air milik penduduk Ukraine’.
Penasihat Presiden, Oleksiy Arestovich, turut mendakwa tentera Russia gagal meraih kejayaan besar dalam serangan di timur.
Pada satu taklimat, beliau berkata tentera Russia sedang cuba menyelaras semula serangan di bandar Hulyaipole di utara wilayah Donetsk.
“Mereka gagal berbuat demikian selepas enam hari,” katanya.
Arestovich berkata tentera Russia menumpukan usaha mereka di kawasan antara Kramatorsk dan Sloviansk, dua bandar di wilayah timur Donetsk.
BHonline-