PETALING JAYA : Pelaksanaan subsidi haji secara bersasar dilihat pendekatan wajar oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi memastikan golongan kurang berkemampuan terus berpeluang menunaikan ibadah haji bermula tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid menyifatkan, pendekatan itu bersesuaian dalam menangani peningkatan kos haji yang naik antara 10 hingga 12 peratus.
Namun, katanya, dengan subsidi bersasar itu, kenaikan bayaran haji antara RM1,000 hingga RM3,000 boleh dianggap agak minimum dan tidak terlalu membebankan.
“Subsidi bersasar ini adalah lebih bertepatan dan menepati matlamat. Harus diingat, subsidi yang diberikan oleh Tabung Haji sebenarnya ‘pengorbanan’ dari keuntungan yang dilepaskan oleh para pendeposit.
“Maka hanyalah adil sekiranya yang benar-benar memerlukan sahaja yang menikmatinya, manakala golongan bukan B40 boleh dianggap sebagai golongan berkemampuan dan seharusnya tidak diberikan subsidi,” katanya.
Beliau juga berpendapat, subsidi bersasar wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Subsidi bersasar ini seharusnya terus dimurnikan dan ditambah baik, agar subsidi dapat disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan dapat memaksimumkan impak sosial,” katanya.
Beliau mengulas mengenai bayaran haji muassasah di bawah Tabung Haji yang dinaikkan RM1,000 kepada RM10,980 bagi kategori B40 manakala kategori bukan B40 dikenakan bayaran sebanyak RM12,980, peningkatan RM3,000.
Ini selepas Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah sebanyak RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.
Bagi jemaah muassasah kategori B40, subsidi TH adalah sebanyak RM14,560 seorang (57%) manakala jemaah muassasah kategori lain turutmenerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang (49%), berbanding RM12,920 seorang pada tahun 2019 (56%).
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berpendapat, Tabung Haji meneruskan subsidi haji secara bersasar kerana badan pengurusan haji itu masih mempunyai kemampuan dari segi kewangan.
“Tabung Haji memberi gambaran bahawa bantuan haji ini akan sentiasa berubah-ubah mengikut situasi kewangan TH, maka pendeposit haji tidak harus bergantung semata-mata kepada bantuan haji ini tetapi meneruskan usaha menabung sehingga mencukupi untuk menampung kos penuh menunaikan haji.
“Namun subsidi bersasar ini akan dapat mengurangkan beban kewangan Tabung Haji supaya matlamat sebenar TH dapat direalisasikan iaitu memberi pengurusan haji yang terbaik di samping memberi pulangan atas pelaburan pendeposit TH,” katanya.
-Utusan Online