KYIV – Presiden Russia, Vladimir Putin mengisytiharkan bahawa bandar pelabuhan utama Ukraine, Mariupol telah ‘dibebaskan’ oleh askar Kremlin, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perkataan ‘dibebaskan’ adalah terma yang digunakan Tentera Russia bagi menggantikan maksud ditawan kerana Kremlin bertegas bahawa operasi ketenteraan Putin adalah bertujuan untuk ‘menyelamatkan’ Ukraine dari pengaruh Nazi.
Menurut pengumuman itu, Putin berkata, tenteranya telah menguasai segenap sudut bandar tersebut kecuali kawasan loji keluli Azovstal yang merupakan kubu terbesar serta terakhir Ukraine. Kilang itu juga menjadi tempat perlindungan hampir 1,000 penduduk.
Mengikut perancangan asal, kilang itu sepatutnya diserbu tentera Russia, namun Putin mengubah rancangan di saat akhir dan mengarahkan pasukannya hanya mengepung lokasi tersebut.
“Kawal dan tutup semua laluan di kawasan perindustrian ini sehingga lalat pun tidak dapat masuk,” kata Putin dalam arahannya.
Putin berkata, tindakan menyerbu loji tersebut yang memiliki rangkaian terowong bawah tanah adalah strategi perang yang tidak praktikal.
Russia tidak boleh mengisytiharkan kemenangan sepenuhnya di Mariupol sekiranya belum menguasai loji Azovstal.
Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu bagaimanapun berkata, loji itu sudah dikepung dan askarnya akan meneruskan perancangan untuk ‘membebaskan’ dua lagi wilayah di timur Ukraine.
Penawanan Mariupol mempunyai kepentingan strategik dan simbolik buat Russia kerana ia telah menjadi medan pertempuran paling dahsyat sejak perang bermula pada 24 Februari lalu.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menepis dakwaan Russia bahawa negara itu telah menawan Mariupol.
Zelenskyy berkata, Ukraine masih belum menyerah kalah dan tenteranya masih mempunyai sedikit kawalan di beberapa bahagian bandar tersebut.
“Saya akui keadaan di Mariupol sekarang sangat sukar dan teruk tetapi kita masih ada beberapa cara yang belum dilakukan untuk kembali merampas Mariupol daripada tangan Russia.
“Terdapat cara ketenteraan yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat” kata Zelenskyy.
-Kosmo Online