ALOR SETAR : Tiga pengunjung di sebuah pusat karaoke ditemukan maut dalam kebakaran di premis tersebut di Jalan Putra, Mergong di sini hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Mereka yang maut itu dikenali sebagai Mak Barry dan Jeffry Tan Wui masing-masing berusia 30 tahun serta seorang mangsa wanita, Kim Mei Ki, 31.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai bermalam di pusat karaoke itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.19 pagi semalam.
“Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan terdapati seramai 11 individu yang berada di dalam pusat karaoke dan lapan daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Ketiga-tiga mangsa ditemukan di dalam dua bilik berbeza di tingkat bawah premis berkenaan. Mangsa dipercayai maut akibat lemas dalam asap yang tebal,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan pusat karaoke berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian itu berlaku dan mangsa dipercayai terlelap di premis berkenaan setelah berkunjung ke situ malam semalam.
Menurutnya, mangsa pertama iaitu Mak Berry ditemukan kira-kira pukul 12.39 tengah hari sebelum Jeffry serta Kim Mei ditemukan pada pukul 12.58 serta 1.13 petang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya berdepan beberapa kesukaran untuk mencari mangsa memandangkan terlalu banyak bilik yang terdapat di premis tersebut selain asap tebal akibat kejadian itu.
Selain itu, dikatakan terdapat juga bilik yang telah diubah suai dalam premis berkenaan.
“Disebabkan kesukaran dihadapi, kami terpaksa mendapatkan lakaran kasar daripada pengurus pusat karaoke tersebut untuk mencari mangsa,” katanya.
Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian setakat ini masih disiasat.
UtusanOnline-