JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan tiga langkah bagi memastikan agar kes seperti Bella tidak berulang.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Antaranya segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.
Cadangan itu diutarakannya dalam pertemuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail di Royal Johor Polo Club, di sini, hari ini.
Tunku Ismail berkata tiga langkah itu ialah pindaan perundangan, penguatkuasaan dan kajian segera syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor.
“Pindaan Perundangan dengan penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera. Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.
“Penguatkuasaan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.
“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha/pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya dalam hantaran di laman sosial The Royal Johor, hari ini.
Tunku Ismail berkata bagi cadangan ketiga, kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain.
“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,
“Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik,” katanya.
BHonline-