Seremban : Dua warga asing dipercayai tokan dadah ditahan polis bersama syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM109,298 di kawasan parkir Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, warga asing berusia 27 dan 38 tahun itu juga tidak mempunyai pengenalan diri selain positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka.
Menurutnya, kejayaan itu bermula apabila sepasukan Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban mengesan kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran parkir HTJ.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati dua lelaki warga Indonesia berada dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nanda berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu, pihaknya menemukan empat bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 2,683 gram dan lima ketulan mampat ganja dengan berat 5,084 gram.
“Jumlah keseluruhan rampasan itu sebanyak 7,767 gram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM109,298,” katanya.
Katanya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson selain kegunaan sendiri.
“Hasil pemeriksaan pada kenderaan juga mendapati nombor pendaftarannya palsu, manakala kedua-dua suspek tiada dokumen pengenalan diri yang sah. Suspek direman selama 14 hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 108A Akta Pengangkutan 1987 serta di bawah Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.
-Harian Metro