KYIV : Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semalam sekali lagi menggesa untuk bertemu dengan pemimpin Russia, Vladimir Putin sebagai usaha untuk menamatkan perang.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
“Saya fikir sesiapa yang memulakan perang ini akan dapat menamatkannya,” kata beliau pada sidang akhbar di sebuah stesen metro di tengah ibu negara Ukraine.
Zelensky berkata, beliau tidak takut untuk bertemu Putin jika ia akan membawa kepada perjanjian damai antara Russia dan Ukraine.
“Sejak awal, saya bertegas untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia.
“Ia bukan kerana saya mahu (bertemu beliau), tetapi saya perlu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan konflik ini dengan cara diplomatik.
“Kami mempunyai keyakinan terhadap rakan kami, namun tidak terhadap Russia,” katanya.
Zelensky berkata, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijadual melawat Kyiv pada Ahad dan Setiausaha Pertahanan negara itu, Lloyd Austin juga akan melawat.
Ia akan menjadi lawatan rasmi pertama pegawai kerajaan AS ke Ukraine sejak pencerobohan oleh Russia pada 24 Februari lalu.
Pegawai Jabatan Negara AS bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.
Zelensky dalam pada itu mengecam rancangan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk melawat Moscow pada Selasa, sebelum Kyiv.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine itu turut mengulangi amaran bahawa pihaknya akan memutuskan rundingan sekiranya Russia membunuh askarnya yang masih berada di pelabuhan Laut Hitam Mariupol yang dikepung.
“Jika orang kami dibunuh di Mariupol dan referendum ‘berpura-pura’ ini dianjurkan di wilayah (selatan) Kherson, maka Ukraine akan menarik diri daripada sebarang proses rundingan,” katanya.
Zelensky juga bersedia melakukan penukaran terhadap tentera Ukraine yang mempertahankan bandar itu dalam apa jua format bagi menyelamatkan mereka yang kini berada dalam situasi yang buruk akibat dikepung.
-Berita Harian