KUALA LUMPUR : Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah menyalurkan kira-kira RM980 juta pembiyaan kepada usahawan mikro di negara ini yang menjadi ‘Sahabat AIM’.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz, berkata pembiayaan dari tempoh Januari hingga Mei lalu itu melebihi 45 peratus daripada sasaran ditetapkan agensi berkenaan.
“AIM menjangkakan pembiayaan sehingga hujung tahun ini mencecah RM2.4 bilion bagi 340,000 ahli AIM yang rata-ratanya usahawan mikro di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, di sini hari ini.
Mohamed Shamir memaklumkan, pengeluaran modal bagi tempoh pandemik sepanjang 2020 dan 2021 lalu agak menguncup kerana agensi berkenaan memberikan moratorium selama sembilan bulan kepada ahli AIM.
“AIM sentiasa mencari titik penyelesaian bagi membantu ahli yang terkesan dan berharap tahun ini akan dapat membantu memulihkan semula perniagaan masing-masing,” katanya.
AIM ditubuhkan pada 17 September 1987 sebagai sebuah badan amanah persendirian yang diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258).
Penubuhannya dibuat melalui pemeteraian Surat Ikatan Amanah AIM bertarikh 17 September 1987 oleh pengasas-pengasas AIM bersama penyumbang dana dan juga Lembaga Pemegang Amanah yang dilantik.
-Berita Harian