SHAH ALAM : Seorang instafamous yang menjadi penganjur majlis hari raya dengan membuat pembakaran bunga api di i-City di sini sehingga mengganggu penduduk yang tinggal di kondominium lokasi tersebut ditahan polis semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penganjur dikenali sebagai ‘Cik Lala’ ditahan polis selepas pengurus badan pengurusan bersama (JMB) di kondominium terbabit membuat laporan polis pada 28 Mei lalu.
Menurutnya, kejadian tersebut tular menerusi beberapa video dalam media sosial memaparkan sekumpulan lelaki pondan berpakaian separuh bogel melakukan aksi tarian berhampiran Dewan Unit B-Ug-12 Upper Grand Floor Centralwalk i-City.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 Mei kira-kira pukul 8 hingga 11.30 malam, sekumpulan lelaki pondan membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat serta terdapat pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk.
“Penganjur yang dikenali dengan nama panggilan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 untuk Majlis Hari Raya dengan jemputan lebih kurang 50 orang kenalannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Iqbal menjelaskan, tangkapan tersebut dibuat kerana selain menyebabkan gangguan kepada orang awam, aktiviti tidak bermoral tersebut dikhuatiri mencemari lokasi berkenaan yang merupakan tempat tumpuan pelancong di negeri ini.
“Penganjur terbabit ditangkap dan direman sehingga 31 Mei 2022 untuk siasatan lanjut. Selain Cik Lala, polis juga dalam usaha membuat beberapa tangkapan lain dan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan.
“Sementara itu, suspek ditahan yang berperwatakan seperti wanita itu ditahan dalam lokap lelaki, namun ditempatkan dalam sel berasingan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Inspektor Nur Syuhada ditalian 017-6942736.
-Utusan Online