KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing yang juga ejen sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’ ditahan bersama 40 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dipercayai milik peminjam yang dijadikan sebagai cagaran.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Kedua-dua suspek berusia 28 dan 36 tahun itu ditahan di sebuah bank di Jalan Medan Tunku, di sini, kira-kira jam 10.19 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu menyimpan kad ATM terbabit sebagai cagaran daripada peminjam dan akan membuat pengeluaran melalui kad setiap bulan.
“Pengeluaran wang akan dibuat setiap bulan melalui kad itu sehingga jumlah pinjaman selesai barulah kad ATM akan dipulangkan semula kepada peminjam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahidisham berkata, susulan tangkapan dua suspek itu, pihaknya memeriksa satu unit kondominium di Jalan Munshi Abdullah, di sini.
Hasil serbuan, katanya polis merampas lima unit telefon bimbit, satu unit monitor dan unit pemproses pusat (CPU), 11 penyata perbankan, kalkulator, buku nota, kad akses, satu rangkai kunci dan wang tunai RM3,000.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 2 Jun dan akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai membuat pinjaman wang di institusi berlesen serta tidak menyerahkan kad ATM serta butiran perbankan kepada pihak ketiga.
Sebarang cubaan bersubahat atau membantu kegiatan Ah Long turut boleh disiasat di bawah Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
BHonline-