KOTA KINABALU : Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) dengan kerjasama Yayasan Hasanah mempelawa organisasi sosial untuk memohon geran khas berjumlah RM100 juta bagi melaksanakan program memperkasa komuniti di negeri ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata menerusi kerjasama itu pihaknya membantu Yayasan Hasanah mencari peserta berkelayakan bagi memohon geran khas yang disediakan yayasan berkenaan.
Geran khas itu, katanya disediakan bagi melaksanakan projek sosial atau tidak berasaskan keuntungan menerusi program pemerkasaan komuniti bertujuan membantu komuniti setempat dalam aspek tertentu yang dapat menambah baik kehidupan mereka.
“SCENIC berbangga dapat berkolaborasi dengan Yayasan Hasanah dan kita berharap usahawan sosial dan pemimpin akar umbi di negeri ini dapat menyertai program berkenaan dengan memanfaatkan inisiatif yang ditawarkan,” katanya sempena Hari Terbuka Geran Khas Hasanah 2022 peringkat negeri Sabah, di sini, semalam.
SCENIC ialah agensi kerajaan negeri Sabah di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang terbabit dalam program memperkasa komuniti menerusi pelbagai aktiviti atau program di Sabah.
Viviantie berkata, menerusi kerjasama dengan Yayasan Hasanah, SCENIC bertindak sebagai penghubung bagi memudahkan usahawan atau organisasi sosial mendapatkan geran khas Yayasan Hasanah yang dikhususkan untuk program pemerkasaan komuniti.
Sementara itu, Yayasan Hasanah dalam kenyataannya, berkata bagi tahun ini pihaknya menawarkan geran khas berjumlah RM100 juta bagi melaksanakan projek bukan berasaskan keuntungan berkaitan pendidikan; pembangunan komuniti; alam sekitar; kesenian dan ruang awam serta pengetahuan di seluruh negara.
Secara keseluruhan, pemberian geran khas berkenaan disasar untuk mewujudkan perubahan sosio ekonomi dan alam sekitar di negara ini melalui penyelesaian yang memperkasakan masyarakat, menggalakkan keterangkuman sosial dan menambah baik alam sekitar.
“Inisiatif ini akan menyokong kerja-kerja pertubuhan masyarakat sivil di lapangan ketika negara beralih ke arah fasa endemik COVID-19, melalui program yang disasarkan kepada golongan terpinggir atau terdedah, termasuk yang berada dalam Kategori 50 (B50),” kata kenyataan itu.
-Berita Harian