Pendakwah Bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq sedia mencabar Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di mahkamah mengenai kenyataannya berhubung program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
“Hari ini saya dimaklumkan bahawa writ saman Khairy Jamaluddin terhadap saya baru diserahkan dengan betul.
“Saya nekad untuk lawan saman KJ ini kerana pada hemat saya hantaran-hantaran dan kenyataan-kenyataan saya mempunyai sandaran kukuh dan alasan yang sangat munasabah serta tidak langsung berunsur fitnah.
“Saya mengharap semua rakyat yang terkesan dengan tindakan pengurusan vaksin dan Covid-19 secara tidak wajar untuk bangkit menegakkan kebenaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini pada 3 Feb lalu, Khairy memfailkan saman fitnah terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan Abu Syafiq susulan tulisan mereka di media sosial antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tanun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Saman-saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari.
Ia merujuk kepada video, gambar dan kenyataan mereka di Facebook, Youtube dan Instragram.
Mohd Rasyiq ketika itu berkata dia akan mengemukakan saman balas sebanyak RM500 juta.
-Malaysia Kini