Shah Alam : Hanya kerana nombor giliran, tindakan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang didakwa meninggikan suara terhadap pelanggan yang berurusan di kaunter dirakam serta tular di media sosial.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 26 April lalu di kaunter Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning di sini.
“Video tular memaparkan tingkah laku kakitangan MBSA itu dirakam oleh orang awam semasa berurusan kaunter berkenaan.
“MBSA mengadakan siasatan dalaman dan untuk makluman, kejadian itu berlaku akibat salah faham di antara seorang pelanggan dan seorang petugas di kaunter berhubung nombor giliran.
“Salah faham ini dapat diselesaikan selepas pelanggan mengambil nombor giliran dan akhirnya meneruskan urusan pembaharuan lesen perniagaan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, MBSA memohon maaf di atas insiden berkenaan dan akan berusaha memastikan agar perkara sama tidak berulang.
“MBSA berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar terhadap isu video yang ditularkan di media sosial.
“MBSA sentiasa mengalu-alukan sebarang pendapat dan cadangan daripada semua pihak demi meningkatkan lagi mutu dan kualiti perkhidmatan yang kami berikan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi sayu minit 38 saat di media sosial yang memaparkan seorang kakitangan MBSA didakwa meninggikan suara terhadap pelanggan.
-Harian Metro