PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau bekalan ayam yang kini berkurangan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata semua aspek membabitkan bekalan ayam tempatan dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Kita pantau dari segi bekalan. Industri ayam dan telur satu industri yang stabil di negara ini. Cuma dalam keadaan disebabkan beberapa faktor yang dimaklumkan industri, kita berdepan kekurangan.
“Jawatankuasa itu hanya akan diwujudkan jika perlu. Jabatan Perkhidmatan Veterinar dipertanggungjawab untuk melihat keadaan dan memantau pada setiap masa, serta berfungsi untuk melihat pengeluaran ternakan termasuk ayam,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri kementeriannya, di sini, hari ini.
Ronald berkata, sekatan eksport 3.6 juta ayam bulat ke negara seperti Singapura, Vietnam dan Pakistan hanya akan dikaji semula, selepas bekalan dalam negara kembali stabil.
Tanpa memberikan jangka masa yang tepat, Ronald, berkata pemantauan akan dibuat memandangkan tumbesaran ayam antara 35 hingga 40 hari sebelum boleh dijual.
“Keadaan dalam negara berdepan dengan kekurangan ayam. Justeru, langkah ini bersifat sementara dan akan dikaji sebaik saja bekalan ayam kembali stabil,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, keperluan harian ayam tempatan antara 1.8 hingga 2 juta.
Ronald berkata, eksport ayam dan telur ke negara lain dibuat sebelum ini berikutan bekalan dalam negara stabil dan memenuhi 100 peratus tahap sara diri.
Beliau berkata, bekalan kurang kerana penyakit yang melanda ternakan, selain masalah kekurangan berat yang ditetapkan.
Ronald berkata, kerajaan juga sudah menaikkan subsidi harga ayam daripada RM0.60 sekilogram ke RM1.40 sekilogram pada April dan Mei.
“Diharap pemberian subsidi ini dapat mengekalkan harga di pasaran pada kadar RM8.90 sekilogram,” katanya.
BHonline-