PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengarahkan eksport sebanyak 3.6 juta ayam sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini, sebagai sebahagian daripada lima pendekatan segera bagi mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu diambil sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sebagai memberi keutamaan kepada rakyat negara ini.
Beliau berkata, tindakan langkah jangka pendek itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Selain menghentikan eksport ayam, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain.
“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.
“Pihak Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
BHonline-