KEPALA BATAS – Kerajaan meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Elaun itu akan dinikmati 114 pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah ABPM.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan bayaran Insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan) dan Insentif Penyelamat Di Air sebanyak RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600sebulan).
Menurutnya, elaun itu turut melibatkan bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) iaitu kadar bayaran secara prorata (maksimum RM150 sebulan) dan bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu melibatkan kadar bayaran secara prorata (maksimum RM150 sebulan).
“Pada peringkat awal, kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, namun saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun jurulatih dan tenaga pengajar.
“Oleh itu, kerajaan meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di ABPM.
“Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan dan Dasar Kebombaan dan Penyelamat Negara (DKPN 2021-2030) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Hari Anggota Bomba Sedunia disambut di seluruh negara pada 4 Mei setiap tahun dan sambutan peringkat kebangsaan tahun bertemakan ‘Bomba Frontliners Keluarga Malaysia’.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.
“Ia meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, perlindungan diri (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.
“Kerajaan juga telah meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama (MOB) Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang,” katanya.
Katanya, DKPN 2021-2030 diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.
“Dasar itu melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan. Ia amat penting kerana mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.
“Pemantauan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur.
“Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya JBPM akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif,” katanya.
-Sinar Harian